KELEMUMUR. Menyebut namanya saja sudah terasa geli. Putih dan kadangkala berkuping di celahan rambut. Apatah lagi kalau melihatnya gugur, jatuh di bahu.
Memburukkan keadaan apabila si empunya ketika itu mengenakan baju berwarna gelap.
Betapa kacak atau jelita seseorang, tetapi kalau begitu keadaannya, tentunya rosak penampilannya lantaran kelemumur dikaitkan dengan pengurusan diri.
Kelemumur atau nama saintifiknya pityriasis capitis adalah satu fenomena biasa yang dialami oleh 50 peratus daripada populasi manusia dan dihidapi pelbagai latar belakang masyarakat.
Di Malaysia, pengidap kelemumur dianggarkan seramai 4.3 juta orang sementara di United Kingdom 11 juta, membuktikan ia masalah sering dihidapi.
